KUALA LUMPUR: Dalam situasi rundingan di antara parti bagi membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka rancak berjalan di belakang tabir, Pergerakan Pemuda UMNO memberi ‘isyarat’ supaya Barisan Nasional (BN) memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan pemilihan kerjasama antara BN dengan PN bersandarkan kepada hujah bahawa kedua-dua parti terbesar Melayu perlu bekerjasama demi penyatuan kaum.
“Pendirian Pemuda UMNO tetap sama sejak daripada sebelum ini. Orang Melayu perlu disatukan dan dua parti terbesar Melayu juga perlu disatukan,” katanya kepada BH, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung pendirian warganet di media sosial yang mahu BN merealisasikan kerjasama dengan PN pada PRN Melaka susulan kejayaan persefahaman itu yang ditunjukkan di Negeri Sembilan.
Tak tanding PRN Melaka
Sebelum ini Dr Muhamad Akmal mengulangi pendirian bahawa beliau tidak akan bertanding dalam PRN Melaka sekiranya BN bekerjasama dengan PH.
Akhir tahun lalu, Dr Muhamad Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, secara terbuka mencadangkan supaya PN dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula ketika berlaku kemelut politik di Perlis.
Malah beliau juga dilihat ‘alergi’ dengan DAP yang menjadi parti komponen dalam PH apabila sering mengkritik kepemimpinan parti terbabit, termasuk bertindak meletakkan jawatan sebagai EXCO pada awal tahun ini.
Alasan utama tindakannya ialah pendiriannya untuk terus menentang DAP dengan mengambil soal prinsip, maruah dan suara akar umbi.
Namun, peletakan jawatannya sebagai EXCO ditolak kerajaan negeri dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Kredit sumber: Berita Harian
