LAHAD DATU: Seramai 157 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi laluan laut dari Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua mereka adalah tahanan dari Depot Imigresen Papar yang dipindahkan menggunakan feri komersial melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.
Katanya, jumlah itu terdiri daripada 59 lelaki dewasa, 45 perempuan dewasa, 33 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan berusia antara sebulan hingga 69 tahun.
“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, seramai 71 PATI warga Indonesia dari Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Sitti Saleha berkata, jumlah itu membabitkan 57 lelaki dewasa, 13 perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Depot Imigresen Kota Kinabalu pula melaksanakan pemindahan melalui udara membabitkan dua lelaki dewasa warga Pakistan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), transit di KLIA sebelum meneruskan penerbangan ke Karachi, Pakistan,” katanya.
Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 5,629 tahanan PATI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
“Daripada jumlah itu, 3,684 adalah warga Filipina, Indonesia (1,646), China (128), Pakistan (127), Vietnam (21) dan lain-lain kewarganegaraan (23).
“Kesemua tahanan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai Travel Document (TD) dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah untuk mengikuti proses pemindahan,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PATI selain melaporkan sebarang kegiatan berkaitan kepada JIM Sabah menerusi saluran rasmi yang disediakan.
