TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seorang penebar roti canai, hampir tiga tahun lalu.
Tertuduh, Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Sirlin Salleh, 36, di kawasan semak di Kampung Pisang, Lahad Datu, antara jam 6 hingga 8 pagi pada 14 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dihukum mati.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga ibu kepada lima anak ditemukan ahli keluarganya dalam keadaan separuh bogel kira-kira 600 meter dari rumahnya pada jam 8.15 pagi.
Mangsa yang bekerja sebagai penebar roti canai dipercayai melalui lokasi kejadian ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, iaitu laluan yang biasa digunakannya.
Perkara itu turut disahkan suami mangsa.
Pemeriksaan pakar forensik mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala, selain beberapa kesan kelar menggunakan senjata tajam pada bahagian leher.
Mangsa turut mengalami luka pada tangan yang dipercayai berlaku ketika cuba mempertahankan diri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.
