JAKARTA: Dua pulau baharu muncul berhampiran Gunung Berapi Anak Krakatau di Indonesia selepas gunung berapi itu meletus selama 25 jam pada awal September lalu.
Kemunculan dua pulau itu dipercayai yang pertama dalam tempoh hampir satu abad dalam kawasan kawah besar Krakatau yang terbentuk selepas letusan dahsyat pada 1883.
Menurut Badan Geologi Indonesia, satu pulau baharu itu terletak kira-kira 760 meter dari pantai barat laut Anak Krakatau, manakala satu lagi kira-kira 495 meter di sebelah tenggara.
Kedua-duanya terletak hampir dalam satu garisan lurus merentasi kawasan kawah Anak Krakatau.
Bagaimanapun, Badan Geologi Indonesia masih belum dapat mengesahkan saiz dan ketinggian kedua-dua pulau itu dari paras laut.
Berdasarkan pemerhatian awal, lahar gunung berapi yang keluar ketika letusan dipercayai mengalir melalui rekahan di dasar laut sebelum terkumpul dan membentuk dua timbunan daratan baharu.
Selama 96 tahun, kawasan kawah Krakatau menyaksikan pembentukan dan perkembangan Anak Krakatau di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera.
Tiada pulau lain yang berasingan diketahui muncul di kawasan itu sejak Anak Krakatau mula kekal di atas paras laut pada 1930.
Kewujudan dua pulau baharu itu disedari hampir dua minggu selepas letusan apabila pelaut dan sukarelawan yang melalui kawasan berkenaan melihat serta merakam gambar formasi berkenaan.
Kedua-duanya turut dikesan menerusi imej satelit Sentinel.
Anak Krakatau sebelum ini tidak menunjukkan aktiviti selama lebih dua tahun sebelum kembali aktif pada Julai lalu.
Aktiviti itu memuncak dengan letusan berterusan selama 25 jam bermula lewat 4 September lalu.
Menurut Badan Geologi Indonesia, aliran lahar dan bahan gunung berapi yang dikeluarkan ketika letusan itu menyebabkan keluasan Anak Krakatau bertambah hampir 33 hektar.
Ketua pasukan gunung berapi badan itu, Heruningtyas Desi Purnamasari, berkata pihaknya masih menjalankan kajian bagi menentukan bagaimana dua pulau baharu itu terbentuk.
“Pada peringkat ini, kami belum dapat mengesahkan asal usul atau bahan yang membentuk kedua-dua pulau itu hanya berdasarkan imej satelit.
“Kami juga belum dapat memastikan sama ada bahan gunung berapi keluar terus di lokasi berkenaan atau kedua-duanya sebenarnya terbentuk daripada lubang letusan baharu,” katanya.
Anak Krakatau muncul beberapa dekad selepas letusan besar Krakatau pada 1883 yang memusnahkan sebahagian besar pulau asal dan mengorbankan lebih 36,000 orang.
Letusan itu turut memberi kesan kepada iklim dan keadaan langit di seluruh dunia selama beberapa tahun.
Bunyi letusan Krakatau dilaporkan boleh didengari sehingga hampir 5,000 kilometer jauhnya, manakala gelombang tekanan akibat letusan itu mengelilingi dunia beberapa kali.
Bencana berkenaan turut menjadi antara kejadian pertama di dunia yang mendapat liputan meluas selepas maklumat mengenai letusan disebarkan melalui rangkaian telegraf.
Kredit sumber: AGENSI/Berita Harian
