Langkawi: Seramai 40 penyelia dan anggota penembak hendap Gerak Khas berjaya menamatkan latihan intensif selama empat minggu di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (LISRAM), di sini, hari ini.
Mereka mengikuti Kursus Penyelia Sniper Gerak Khas Siri 1/2026 dan Kursus Ahli Sniper Gerak Khas Siri 1/2026 anjuran Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Tentera Darat, Kem Sungai Udang, Melaka.
Kursus itu bertujuan memperkukuh kepakaran serta keupayaan operasi penembak tepat pasukan keselamatan negara menerusi latihan dalam persekitaran mencabar dan realistik.
Majlis penutupan kedua-dua kursus berkenaan disempurnakan Komandan PULPAK, Kolonel Nordin Abu.
Nordin berkata, Langkawi dipilih sebagai lokasi latihan berdasarkan kedudukan geografi serta kepelbagaian bentuk muka buminya yang sesuai bagi menguji keupayaan penembak tepat.
“Keadaan geografi serta pelbagai bentuk muka bumi di Langkawi menyediakan persekitaran latihan yang mencabar dan realistik.
“Kemudahan di sini membolehkan peserta mengaplikasikan kemahiran dipelajari, selain menguji konsistensi dan ketepatan tembakan jarak jauh,” katanya pada sidang media selepas menutup kursus berkenaan.
Beliau berkata, pengendalian kursus kali ini turut diperkasakan menerusi latihan ‘area sniping’ bagi meningkatkan keupayaan peserta menghadapi pelbagai senario operasi.
“Latihan turut membabitkan pesawat Agusta A109 LOH daripada Pasukan Udara Tentera Darat dan EC725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sekali gus memberi dimensi latihan berbeza kepada peserta,” katanya.
Pada majlis sama, Leftenan Mohammad Ayyub Johari dari 11 Rejimen Gerak Khas dinobatkan Penembak Terbaik Kursus Ahli Sniper, manakala Prebet Qasri Albari Ismail dari Rejimen 22 Komando meraih anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 1 Oktober 2026
