KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, bersama beberapa bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid, menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Ellron menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan di sebuah hotel di sini.
Beliau kemudian dilantik sebagai AJK Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan.
Abdul Ghani berkata, perubahan struktur pentadbiran parti daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen memberi cabaran baharu kepada parti, selain membuka ruang untuk memperkemas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, Bahagian Pensiangan turut menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN bagi memperkukuh jentera parti sebagai persediaan menghadapi PRU16.
“Pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Penubuhan cawangan Gagasan Rakyat pula hendaklah berasaskan PDM di setiap kawasan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron bersama bekas pemimpin dan ahli STAR ke dalam Gagasan Rakyat.
Beliau berkata, penyertaan berkenaan dapat menambah kekuatan Gagasan Rakyat di Bahagian Pensiangan, khususnya dalam memperkemas gerak kerja dan struktur organisasi parti di kawasan berkenaan.
“Penyertaan mereka akan membantu kita memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi, selain memastikan struktur organisasi dapat diperkemaskan sebagai persediaan menghadapi PRU16,” katanya.
