KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak seharusnya terus bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah kekurangan doktor yang kini dilaporkan menghampiri tahap kritikal, kata Dr Istefan Koh.
Beliau berkata walaupun pelantikan dan penempatan pegawai perubatan merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri masih mempunyai ruang untuk mengambil langkah sendiri bagi menarik dan mengekalkan doktor di Sabah.
“Kerajaan negeri memang tidak mempunyai kuasa penuh terhadap pelantikan doktor, tetapi itu tidak bermakna Sabah tidak boleh melakukan apa-apa.
“Persoalannya sekarang ialah, apakah yang boleh Sabah lakukan dengan kuasa dan sumber yang kita ada?” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah bahawa hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijangka melapor diri di hospital-hospital negeri ini telah hadir ketika data tersebut dikumpulkan.
MMA Sabah turut memberi amaran bahawa keadaan kekurangan doktor semakin serius, dengan sesetengah jabatan dilaporkan terpaksa menjalankan tugasan on-call secara selang sehari.
Dr Istefan berkata keadaan itu akhirnya akan memberi kesan secara langsung kepada pesakit melalui peningkatan beban kerja doktor, masa menunggu yang lebih panjang dan risiko keletihan dalam kalangan petugas kesihatan.
“Ini bukan lagi sekadar isu jumlah jawatan kosong atau angka dalam laporan.
“Apabila doktor tidak cukup, doktor yang sedia ada terpaksa bekerja lebih lama. Apabila tenaga kerja semakin berkurangan, pesakit pula yang akhirnya menerima kesannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan respons Kerajaan Negeri yang setakat ini lebih tertumpu kepada pemantauan, perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan serta menunggu keputusan penempatan terkini.
“Berapa lama lagi kita mahu terus menunggu Putrajaya?
“Kalau kita tahu masalah ini berlaku setiap tahun, mengapa kita tidak mempunyai mekanisme sendiri untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada doktor?” soalnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan insentif tambahan yang dibiayai negeri, bantuan perpindahan, kemudahan perumahan, pengangkutan serta insentif khas bagi doktor yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan hospital yang mempunyai kekurangan tenaga kerja paling serius.
Beliau berkata Sabah juga perlu mewujudkan biasiswa perubatan negeri dengan syarat penerima kembali berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian.
“Kalau kita mampu membina infrastruktur dan membangunkan pelbagai sektor ekonomi, kita juga mesti berani melabur dalam modal insan kesihatan.
“Doktor adalah aset. Kalau kita mahu doktor datang dan kekal di Sabah, kita mesti memberikan mereka sebab untuk memilih Sabah,” katanya.
Dr Istefan turut mengaitkan cadangan untuk memberikan Sabah peranan yang lebih besar dalam pengurusan kesihatan dengan pandangan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, yang sebelum ini mencadangkan pengurusan kesihatan negeri diberi perhatian lebih besar di peringkat Sabah.
Beliau berkata perbincangan mengenai kementerian kesihatan di peringkat negeri tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut nama atau struktur pentadbiran, tetapi daripada persoalan lebih besar mengenai kuasa membuat keputusan dan keupayaan Sabah bertindak pantas.
“Yang kita perlukan bukan sekadar kementerian dengan nama yang baharu.
“Kita perlukan kuasa, peruntukan dan mekanisme yang membolehkan Sabah merancang keperluan kesihatan sendiri berdasarkan realiti Sabah,” katanya.
Beliau berkata antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah penubuhan satu badan khusus tenaga kerja kesihatan Sabah yang melibatkan Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan wakil profesional perubatan.
Badan itu, katanya, boleh memantau jumlah doktor yang diperlukan, kadar doktor melapor diri, kekosongan mengikut hospital serta kadar doktor yang meninggalkan Sabah.
“Rakyat perlu tahu berapa doktor yang diperlukan oleh setiap hospital, berapa yang melapor diri dan berapa yang tidak.
“Kalau kita tidak mempunyai data yang jelas, bagaimana kita mahu merancang penyelesaian untuk lima atau 10 tahun akan datang?” katanya.
Dr Istefan turut menggesa Kerajaan Negeri mendapatkan angka rasmi bagi setiap hospital, termasuk Hospital Tawau, bagi menentukan kesan sebenar kekurangan doktor terhadap perkhidmatan kesihatan di kawasan terbabit.
Beliau berkata isu berkenaan tidak sepatutnya menjadi pertelingkahan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawabnya dan Kerajaan Negeri juga mempunyai tanggungjawabnya.
“Rakyat tidak mahu melihat siapa yang menyalahkan siapa. Rakyat mahu melihat siapa yang mengambil tindakan,” katanya.
Menurutnya, Sabah perlu beralih daripada pendekatan “menunggu dan berbincang” kepada pendekatan yang lebih proaktif dalam menangani masalah tenaga kerja kesihatan.
“Jangan tunggu sehingga sistem kesihatan kita benar-benar lumpuh baru kita bertindak.
“Kalau kita sudah tahu masalahnya sekarang, kita mesti mula membina penyelesaian sekarang,” katanya.
Beliau berkata matlamat akhirnya bukan sekadar memastikan doktor dihantar ke Sabah, tetapi memastikan doktor mahu datang, berkhidmat dan kekal di negeri ini.
“Sudah tiba masanya Sabah bukan hanya menunggu doktor dihantar ke sini.
“Sabah mesti mempunyai kemampuan untuk menarik doktor datang ke sini — dan memberikan mereka sebab untuk kekal,” katanya.
