KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 27 tahun yang dilaporkan hilang selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam parit di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Kawakaan berakhir dengan penemuan mayat mangsa, pagi ini.
Mangsa ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kira-kira jam 10.30 pagi, pada jarak sekitar dua kilometer dari lokasi Honda WR-V miliknya ditemukan selepas kemalangan petang semalam.
Ketua Zon Kota Kinabalu JBPM Sabah, Penguasa Kanan Bomba I Johari Dzulkiflie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 petang semalam sebelum anggota digerakkan ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah Honda WR-V dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam parit.
Bagaimanapun, pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan serta kawasan berhampiran tidak menemukan mangsa.
Susulan itu, anggota bomba bersama polis menjalankan usaha pencarian di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan mangsa.
Operasi berkenaan kemudiannya ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan diteruskan sekiranya terdapat petunjuk baharu.
Pencarian disambung semula pagi ini sebelum pasukan SAR menemukan mangsa kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaan pada jam 10.30 pagi.
Menurut Johari, mangsa ditemukan dalam keadaan tersangkut pada rumpun bambu di sebuah anak sungai di Kampung Kawakaan, Inanam.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi SAR berkenaan membabitkan seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.
Sebelum itu, rakaman kejadian membabitkan sebuah kenderaan yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Pan Borneo ketika hujan lebat petang semalam turut tersebar di media sosial.
Rakaman yang dibuat pengguna jalan raya menunjukkan beberapa individu berada di lokasi bagi memberikan bantuan sebelum sebuah kren digunakan untuk mengangkat kenderaan terbabit keluar dari parit. – DAKWAT RAKYAT POST
