KUNAK: Seorang wanita berstatus isteri orang dicekup bersama seorang lelaki selepas dipercayai berkhalwat di dalam sebuah kenderaan, di sini, semalam.
Pasangan berkenaan ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak menerusi Operasi Cegah Maksiat.
Menurut JHEAINS Kunak, pemeriksaan mendapati lelaki dan wanita terbabit berada bersama di dalam kenderaan dalam keadaan yang disyaki membawa kepada kesalahan khalwat.
Katanya, lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan mendapati wanita berkenaan adalah isteri orang.
“Pasangan terbabit kemudian dibawa oleh penguat kuasa JHEAINS Kunak untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, JHEAINS mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga batas pergaulan dan mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah.
Menurutnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh membawa implikasi dari sudut undang-undang syariah, malah berpotensi memberi kesan kepada institusi keluarga dan masyarakat.
