KENINGAU: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas terperangkap dalam lori simen yang terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.02 pagi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi lapan minit kemudian dan mendapati sebuah lori simen terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.
“Maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang mangsa dipercayai terperangkap di dalam lori berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan mengeluarkan mangsa yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebuah lori kren tiba di lokasi pada jam 10.34 pagi bagi membantu mengangkat lori simen berkenaan yang terbalik, sekali gus memudahkan operasi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikesan dan ditemukan di dalam lori berkenaan pada jam 10.38 pagi.
“Pemeriksaan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan kematiannya disahkan di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa tamat pada jam 10.58 pagi selepas pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya
