KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menjalankan siasatan berhubung kematian seekor gajah jantan yang ditemukan hanyut di Sungai Kinabatangan berhampiran Angco Jaya Plantation dan Lot 4, Kinabatangan Wildlife Sanctuary.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan awal mengenai penemuan bangkai gajah berkenaan di sungai berhampiran Pontian Plantation.
Menurutnya, pasukan Rapid Response Team (RRT) bersama Renjer Kehormat Hidupan Liar dari Sukau kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemukan bangkai gajah terbabit yang dipercayai hanyut dibawa arus sungai.
“Bangkai itu ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera Angco Jaya Plantation bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan.
“Gajah itu dikenal pasti sebagai jantan, kira-kira enam kaki tinggi dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan bangkai, gajah berkenaan dipercayai sudah mati kira-kira empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan dijalankan.
Jafry berkata, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh gajah berkenaan, selain kedua-dua gadingnya didapati hilang.
Bagaimanapun, katanya, JHL tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian sebelum siasatan lengkap dilakukan.
“Pada peringkat ini, kita tidak mahu membuat spekulasi mengenai keadaan kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian.
“Perkara ini memerlukan siasatan lanjut dan perlu disokong dengan bukti,” katanya.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan JHL pada 1 Oktober lalu dengan sampel organ serta kandungan perut gajah diambil untuk analisis makmal.
Katanya, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan sementara pihaknya menunggu keputusan analisis makmal serta laporan lengkap bedah siasat.
“Saya sudah mengarahkan JHL Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan yang membawa kepada kehilangan gading.
“JHL juga sedang mengambil keterangan daripada individu yang mula-mula melaporkan kejadian bagi membantu siasatan susulan,” katanya.
Jafry berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang hidupan liar.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkannya kepada JHL bagi membantu mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan kematian gajah terbabit.
