PUTATAN: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis membawa kepada penahanannya bersama beberapa komponen motosikal disyaki dicuri serta senjata berjadual di daerah ini, awal pagi tadi.
Suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Putatan ketika pasukan terbabit menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis.
“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan dan komponen motosikal yang disyaki dicuri, selain senjata berjadual serta peralatan yang dipercayai boleh digunakan untuk kegiatan jenayah,” menurut kenyataan itu.
Kesemua barangan berkenaan kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.
Polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan berkaitan percubaan melakukan sesuatu kesalahan.
Polis pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
