TAWAU: Masyarakat terutama golongan belia dan wanita dinasihatkan tidak menelan bulat-bulat kandungan agama yang disebarkan pencipta kandungan di media sosial.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, lambakan kandungan agama ketika ini perlu ditangani dengan memperbanyakkan program keagamaan yang dikendalikan penceramah berautoriti.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam boleh memainkan peranan dengan menganjurkan program yang mendapat pandangan dan pengiktirafan pihak berautoriti agama.
“Kita berharap NGO Islam seperti Lembaga Kebajikan Perempuan Islam, NGO Selawat dan mana-mana pihak supaya banyak menganjurkan program yang mempunyai autoriti ataupun diterima secara sah oleh pihak berkuasa agama.
“Kita khuatir kalau ada mereka yang berselindung di sebalik agama menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui pada program ceramah Menata Hati di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan media sosial menyaksikan semakin ramai individu tampil sebagai pencipta kandungan agama, namun masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menilai kesahihan maklumat yang diterima.
“Tidak semua kandungan agama yang dikongsi di media sosial datang daripada individu yang mempunyai pengetahuan dan autoriti sewajarnya.
“Apa pun program yang ingin kita anjurkan, kita harus mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak yang berautoriti dalam agama Islam di negara kita, khususnya di Sabah.
“Ini penting supaya kandungan yang disampaikan tidak bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Program Menata Hati dianjurkan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Sabah Cawangan Tawau dengan kerjasama NGO Selawat Tawau dan menampilkan pendakwah dari Indonesia, Ustaz Hilman Fauzi.
Nizam berkata, sambutan luar biasa terhadap program itu menunjukkan masyarakat Tawau mempunyai minat tinggi terhadap program keagamaan yang memberi pengisian berkaitan pengurusan hati, keimanan, reda dan menerima ketentuan Allah SWT.
Katanya, Dewan Masyarakat Tawau yang mempunyai kapasiti kira-kira 3,000 orang turut dipenuhi peserta sehingga sebahagiannya terpaksa duduk di lantai.
“Ini menunjukkan masyarakat kita memerlukan program sebegini dan kita berharap lebih banyak program agama yang sahih serta mendapat pandangan pihak berautoriti dapat dianjurkan pada masa akan datang,” katanya.
