KENINGAU, 4 Oktober 2026 – Seramai 108 alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkumpul dalam Majlis Reunion Kent 2026 yang berlangsung di Bandukan Resort, di sini, semalam.
Pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan nostalgia, dengan Daerah Keningau menjadi tuan rumah kepada alumni dari Tambunan, Tenom dan Nabawan serta bekas guru pelatih dari Pantai Barat Selatan dan Utara, Sandakan, Tawau, Pedalaman Bawah dan Labuan.
Pengerusi program, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata majlis berkenaan bukan sekadar menemukan semula rakan-rakan lama, malah menjadi ruang untuk mengimbau kenangan serta mengukuhkan hubungan persahabatan yang terbina ketika berada di Maktab Perguruan Kent Tuaran.
Menurutnya, pertemuan itu turut memperlihatkan nilai kekeluargaan dalam kalangan alumni yang pernah melalui pengalaman dan kehidupan sebagai guru pelatih di maktab berkenaan.
“Reunion ini bukan sekadar makan bersama, bergambar dan bersalaman, tetapi pertemuan semula sebuah keluarga besar yang pernah bersama di Maktab Perguruan Kent Tuaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Reunion Kent 2026, semalam.
Beliau berkata, tempoh masa yang panjang selepas meninggalkan maktab tidak menghalang hubungan sesama alumni untuk kembali terjalin, malah ada dalam kalangan mereka yang bertemu semula selepas puluhan tahun.
Katanya, pertemuan itu membuktikan ikatan persahabatan yang dibina ketika berada di Kent mampu kekal walaupun masing-masing telah membawa haluan dan menjalani kehidupan di tempat berbeza.
“Bertahun-tahun kita membawa haluan masing-masing. Namun, hari ini Allah menemukan kita kembali. Kita mungkin telah meninggalkan Kent, tetapi Kent tidak pernah meninggalkan kita,” katanya.
Yazid berkata, faktor usia juga menjadikan nilai persahabatan dan kenangan lama semakin dihargai, khususnya pengalaman yang pernah dikongsi bersama ketika berada di maktab.
“Masa tidak boleh dibeli dan kenangan tidak boleh diulang. Sebab itu pertemuan seperti ini amat berharga. Jangan kita tunggu puluhan tahun lagi untuk bertemu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua alumni supaya terus berhubung, bertanya khabar dan saling menziarahi agar hubungan kekeluargaan yang terjalin menerusi Reunion Kent dapat diteruskan selepas program berakhir.
Pelbagai pengisian turut disediakan sepanjang majlis, antaranya pertukaran hadiah, persembahan koir, cabutan nama bertuah, persembahan peserta serta tayangan montaj bertajuk ‘Kent, Sepanjang Jalan Kenangan’.
Tayangan tersebut mengimbau kembali perjalanan kehidupan dan kenangan persahabatan para alumni sepanjang berada di Maktab Perguruan Kent Tuaran.
Majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan Busana Pilihan Terbaik yang menyaksikan Rahman Jafar muncul pemenang bagi kategori lelaki, manakala Rosemary Jamari memenangi kategori perempuan.
Dalam pada itu, Yazid turut menyampaikan penghargaan kepada semua alumni yang hadir, terutama mereka yang sanggup datang dari lokasi yang jauh, selain merakamkan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana, pengurusan Bandukan Resort dan pasukan RELA atas sokongan serta kerjasama diberikan.
Beliau berkata, hubungan yang terbentuk sejak zaman di Kent perlu terus dipelihara kerana ia menjadi sebahagian daripada kenangan dan perjalanan hidup para alumni.
“Dulu kita sahabat di Kent, hari ini kita keluarga Reunion Kent. Selamanya kita sahabat,” katanya.
Beliau berharap program Reunion Kent dapat diteruskan secara berkala pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai alumni dari seluruh Sabah dan Labuan, sekali gus memastikan ikatan silaturahim serta semangat kekeluargaan warga Kent terus subur. – DAKWAT RAKYAT POST
