TAWAU: Teck Guan Cocoa Village di sini dilihat sebagai antara permata tersembunyi ekopelancongan Sabah yang menawarkan pengalaman unik berasaskan koko, alam semula jadi dan pemuliharaan alam sekitar.
Destinasi berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung menikmati kehijauan hutan, air terjun dan kepelbagaian spesies burung, malah memperkenalkan mereka kepada proses penghasilan koko daripada pokok sehingga menjadi produk coklat.
Pengurus Operasi Teck Guan Cocoa Village, Joel Lee Thau Fah berkata, lokasi berkenaan pada asalnya lebih tertumpu kepada aktiviti kelapa sawit sebelum dibangunkan secara berperingkat sebagai destinasi pelancongan berteraskan koko dan pemulihan alam sekitar.
Menurutnya, ketika ini lokasi itu menerima kira-kira 3,000 pengunjung setiap bulan, termasuk pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat, Asia Tenggara dan Semenanjung Malaysia.
“Pelancong tempatan juga antara penyokong paling tegar kami, termasuk pengunjung dari Tawau sendiri.
“Kami melihat jumlah pelancong semakin meningkat dan menjangkakan trend itu akan terus berkembang pada masa akan datang,” katanya.
Joel berkata, Teck Guan Cocoa Village turut menawarkan pelbagai aktiviti yang memberi pengalaman secara langsung kepada pengunjung, selain tarikan air terjun dan pemerhatian burung.
Katanya, antara aktiviti yang disediakan termasuk lawatan ke tapak semaian bunga bagi memberi peluang kepada pengunjung mempelajari teknik penanaman yang betul serta mengenali pelbagai spesies bunga.
“Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, kami menyediakan pakej meredah hutan di kawasan Batu Bersusun dan air terjun, selain meneroka kawasan hutan simpanan Teck Guan.
“Burung enggang badak juga antara tarikan utama kerana kawasan ini mempunyai sumber makanan semula jadi yang banyak hasil kepelbagaian tanaman serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian,” katanya.
Beliau berkata, selain burung enggang badak, pelbagai spesies burung lain turut boleh ditemui di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Joel berkata pihaknya merancang memperkukuh lagi Teck Guan Cocoa Village sebagai destinasi ekopelancongan dengan memperkenalkan lebih banyak aktiviti dan pengalaman kepada pengunjung.
Antaranya termasuk konsep Farm to Table yang membolehkan pelancong menikmati makanan segar dihasilkan daripada tanaman di kawasan berkenaan.
“Kami juga merancang mewujudkan Koko Experience Center yang diharapkan dapat menjadi antara tarikan utama pelancongan di Sabah.
“Selain itu, pihak pengurusan turut mempunyai inisiatif mewujudkan pusat perlindungan gajah susulan kebimbangan terhadap populasi gajah di kawasan Tawau yang semakin terancam,” katanya.
Katanya, pelbagai aktiviti lasak turut dirancang, selain pembangunan tanaman lain seperti durian dan mangga bagi memperluas sektor pertanian serta produk hiliran.
Joel berkata, pihaknya juga mahu memperkukuh kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan menerusi inisiatif Tawau Tourism yang menghimpunkan pelbagai agensi dan pengusaha.
“Melalui kerjasama ini, kami mahu mempromosikan hasil kraftangan tempatan selain mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Dalam bidang pertanian, beliau berkata pihaknya turut menjalankan penyelidikan bagi memperkenalkan amalan agro yang lebih lestari, termasuk penggunaan baja karbon yang dibangunkan syarikat untuk pelbagai jenis tanaman.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh Kian Leong menyifatkan Teck Guan Cocoa Village sebagai destinasi yang mempunyai nilai besar dalam landskap ekopelancongan Sabah.
Katanya, gabungan alam semula jadi, pertanian dan aktiviti berkaitan koko memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Teck Guan Cocoa Village bukan sekadar destinasi berkaitan tanaman koko, malah boleh dianggap sebagai antara permata tersembunyi yang sangat bernilai di Sabah.
“Pengunjung dapat menikmati ketenangan alam, bunyi air terjun dan kehijauan hutan, selain melihat burung enggang serta ikan kelah yang diternak di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut Tony, elemen koko turut memberikan identiti tersendiri kepada destinasi itu kerana pengunjung berpeluang melihat pokok koko, memahami proses penanamannya dan mengetahui bagaimana hasil pertanian berkenaan diproses menjadi pelbagai produk.
Katanya, gabungan alam semula jadi dan pengalaman berkaitan koko menjadikan kunjungan ke lokasi itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah mempunyai nilai pendidikan.
Bagi pelancong dari Kuala Lumpur, Samantha Lau, pengalaman melihat sendiri proses menghasilkan coklat daripada koko memberikan pengalaman baharu kepadanya.
“Saya sangat suka proses membuat koko kerana sebelum ini saya pernah melihat buah koko, tetapi tidak tahu prosesnya begitu banyak dan rumit untuk menghasilkan coklat.
“Bagi saya, pengalaman membuat sendiri coklat di sini sangat berharga kerana saya tidak pernah mendapat pengalaman seperti ini di tempat lain,” katanya.
Sementara itu, pelancong dari Singapura, Rebecca Tan berkata, suasana semula jadi di Teck Guan Cocoa Village memberi peluang kepadanya berehat daripada kehidupan bandar yang pantas.
“Saya rasa sangat tenang kerana tempat ini dikelilingi hutan. Saya datang dari Singapura yang banyak bangunan dan kehidupan yang pantas, jadi tempat seperti ini sangat bagus untuk berehat dan menenangkan fikiran,” katanya.
Pelancong dari China, Johnathan Khor pula berkata, pengalaman mempelajari proses menghasilkan koko serta suasana semula jadi menjadi antara tarikan utama lokasi berkenaan.
“Tempat ini sangat cantik dan proses membuat koko sangat menarik kerana kami dapat belajar banyak perkara yang sebelum ini tidak pernah kami lihat.
“Suasana di sini sangat santai dan sesuai untuk kanak-kanak mahupun orang tua. Jika datang lagi ke Sabah, saya akan mengajak lebih ramai orang berkunjung ke sini,” katanya.
