BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand mematahkan cubaan menyeludup seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga China selepas mengejar dua kenderaan sejauh 40 kilometer dalam operasi di wilayah Songkhla, Selatan Thai, lapor akhbar Bangkok Post.
Polis kemudian menahan tiga warga tempatan disyaki membawa lelaki berkenaan dari sempadan Kemboja merentasi Thailand menuju ke Malaysia.
Jurucakap Bahagian 6 Polis Imigresen Thailand, Kolonel (polis) Charoenpong Khantilo berkata, tangkapan dibuat di daerah Hat Yai selepas pihak polis menerima maklumat risikan aktiviti penyeludupan manusia di kawasan sempadan.
Bertindak atas maklumat, pasukan polis mengesan dua kenderaan mencurigakan dipandu laju sebelum memulakan aksi mengejar sejauh 40 kilometer.
Polis akhirnya memintas sebuah kenderaan itu di Jalan Lop Buri Ramet, Hatyai, lewat malam kelmarin.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan dua wanita tempatan berusia 35 tahun dikenali sebagai Aiyatiya dan Lalita.
Turut berada di tempat duduk belakang ialah seorang lelaki warga China berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Yang.
Siasatan awal mendapati kedua-dua wanita menerima bayaran 10,000 baht (RM1,200) untuk membawa suspek warga China itu ke sebuah hotel peranginan di Hat Yai selepas dia dikesan memasuki Thailand secara haram dari Kemboja.
Semasa soal siasat, seorang lagi suspek warga Thailand berusia 29 tahun dikenali sebagai Songkran yang memandu kenderaan kedua di hadapan kereta suspek telah menelefon Aiyatiya bagi bertanyakan lokasinya.
Polis menyusun strategi dengan memancing suspek ke sebuah stesen minyak berhampiran sebelum menahannya.
Ketiga-tiga warga Thailand itu dituduh membantu pendatang tanpa izin.
Lelaki warga China itu berdepan pertuduhan imigresen, termasuk gagal mengemukakan pasport.
Kredit sumber: AGENSI/Kosmo! Online
