KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menggesa kerajaan meningkatkan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Sipitang dan Kompleks Sukan Beaufort bagi menyokong pembangunan sukan serta memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Beliau pada masa sama mencadangkan supaya lebih banyak kemudahan sukan disediakan di kawasan kampung bagi memberi peluang kepada golongan muda mengembangkan bakat masing-masing.
Ketika berucap menyokong Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Matbali berkata usaha membangunkan sukan tidak seharusnya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja.
Menurutnya, kemudahan seperti gelanggang dan padang perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar supaya lebih ramai anak muda mendapat peluang untuk menceburi bidang sukan.
“Kalau kita benar-benar mahu melahirkan juara, kita mesti membina gelanggang di kampung, menyediakan padang di daerah dan membuka ruang kepada anak-anak di luar bandar.
“Juara tidak semestinya lahir di stadium besar, kadang-kadang juara bermula di gelanggang kecil sebuah kampung nun jauh terpencil,” katanya.
Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata Sipitang mempunyai rekod melahirkan atlet dan tokoh sukan yang berjaya mengharumkan nama Sabah serta negara.
Antara nama yang pernah menyerlah dalam arena bola sepak ialah Andrew Laban, Ronny Harun dan Mafry Balang.
Katanya, kejayaan terbaharu turut dicatatkan atlet kelahiran Sipitang, Gerfan Nigel Frank, yang meraih pingat emas pada SUKMA Selangor 2026 dalam acara lompat bergalah lelaki dengan catatan 4.55 meter.
Selain itu, Sipitang turut melahirkan pemanah tradisional Ismail Jumat yang menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen Malaysia pada Kejohanan Terbuka Memanah Tradisional Eropah (ETO) di Jerman pada 2023.
Pada kejohanan sama, seorang lagi anak kelahiran Sipitang, Rohayati Tarip @ Tariff, menduduki tempat keempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Matbali berkata Kompleks Sukan Sipitang perlu dinaik taraf kerana kemudahan berkenaan menjadi antara ruang utama masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti riadah, sukan dan program komuniti.
Beliau turut menyarankan supaya fasiliti di Kompleks Sukan Beaufort dipertingkatkan bagi menyediakan kemudahan yang lebih lengkap kepada penduduk.
Katanya, kompleks berkenaan ketika ini mempunyai kemudahan asas termasuk trek larian, padang bola sepak serta gelanggang terbuka yang boleh digunakan untuk aktiviti bola tampar, bola keranjang dan futsal.
“Adalah dicadangkan supaya kementerian menambah kemudahan di kompleks ini seperti dewan permainan, padang hoki, lawn bowl, kolam renang dan lampu limpah padang bola sepak,” katanya.
Mengulas Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026, Matbali berkata pindaan berkenaan dilihat selaras dengan perkembangan serta keperluan semasa sektor sukan negara.
Beliau berkata pengukuhan aspek tadbir urus dan pemantauan terhadap badan sukan juga penting bagi memastikan pengurusan organisasi berkenaan dilaksanakan secara teratur dan berintegriti.
“Kita juga perlu memperkukuh tadbir urus dan pemantauan badan sukan. Ia memastikan setiap badan sukan bergerak dengan perlembagaan, integriti, akauntabiliti dan kepentingan atlet sebagai keutamaan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
