Iskandar Puteri: Beberapa orang pekerja wanita warga Myanmar berpelukan sambil menangis ketika ditahan oleh Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan ke atas dua kilang elektronik dekat sini, petang semalam.
Mereka bukan terlalu sedih kerana ditahan memasuki dan bekerja tanpa permit di negara ini, tetapi mengakui runsing dan bimbang apa akan jadi kepada keluarga di kampung halaman yang amat mengharapkan kiriman wang setiap bulan selepas mereka tertangkap.
Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Damiano mengakui sedih dan buntu memikirkan nasib ibu bapa dan adik-adiknya yang bergantung kepadanya.
Damiano mengaku baru beberapa hari bekerja di sebuah kilang di sini, selepas berhenti kerja di restoran di Batu Pahat selepas lebih tiga tahun mencari rezeki di negara ini.
“Saya baru masuk kerja berapa hari di kilang ini selepas lebih satu tahun kerja tidak tetap di restoran di Batu Pahat.
“Saya ada papa mama dan adik-adik di Myanmar. Macam mana mahu kasi wang sama mereka, saya sudah kena tangkap,” katanya.
Walaupun Damiano menunjukkan memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), namun dia yang mendakwa anak kacukan Bangladesh dan Myanmar tetap ditahan kerana kad tersebut diragui kesahihannya.
Seorang lagi rakan senegaranya yang dikenali sebagai Mawe turut runsing memikirkan kehidupan suami dan seorang anak mereka selepas dia tertangkap, sekali gus tidak lagi dapat mengirimkan wang setiap bulan.
“Saya sudah empat tahun kerja di Malaysia, sebelum ini di Pulau Pinang, tapi pindah Johor sudah dua tahun. Di Myanmar susah cari kerja. Saya masuk guna pasport, tapi tak ada permit,” katanya.
Dalam serbuan serentak ke atas dua buah kilang oleh 80 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Johor selama kira-kira dua jam bermula jam 5.30 petang itu, seramai 177 pekerja asing dan tiga majikan warga tempatan ditahan.
Warga asing itu terdiri daripada 35 lelaki dan 114 wanita Myanmar, 23 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Indonesia serta dua wanita Nepal yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.
Semua warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1963, iaitu memasuki negara ini tanpa permit yang sah, manakala tiga majikan disiasat di bawah Seksyen 56 (1) (D) akta sama kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kesemua warga asing terbabit dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika untuk urusan selanjutnya.
Kredit sumber: Harian Metro
