KENINGAU: Seorang penjawat awam direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengesahan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi, selepas permohonan dibuat oleh SPRM. Suspek direman sehingga 12 Oktober ini.
Lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas hadir untuk memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Siasatan awal mendapati perbuatan yang disyaki dilakukan suspek itu berlaku dalam tempoh antara 2021 hingga 2024.
Suspek dipercayai menggunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan pemilikan dengan salah seorang ahli keluarganya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan penelitian terhadap dakwaan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
