BELURAN: [KEMASKINI] Seorang ustazah maut, manakala tiga pelajar perempuan cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Pamol-Sapi Nangoh, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Nurafya, 25, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa dipercayai memandu Perodua Aruz yang dinaiki bersama tiga pelajar perempuan dari sekolah berkenaan.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke Beluran bagi menghadiri satu perkhemahan sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Tiga pelajar terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan, manakala empat individu yang menaiki Toyota Hilux turut mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sebelum sepasukan lima anggota tiba di lokasi pada jam 1.58 petang.
Beliau berkata, lokasi kejadian terletak kira-kira 104 kilometer dari BBP Beluran.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Aruz dan Toyota Hilux.
“Guru wanita berkenaan mengalami kecederaan parah, manakala tiga pelajar yang berada dalam Perodua Aruz mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Nur Azlan berkata, semua mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.
Katanya, tiada operasi menyelamat dijalankan bomba kerana kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Empat mangsa yang menaiki Toyota Hilux turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang,” katanya.
Identiti dan butiran lanjut mengenai mangsa lain masih belum diperoleh.-Dakwat Rakyat Post
