LAWAS: Sarawak berharap Belanjawan 2027 memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan infrastruktur pendidikan, khususnya kerja menaik taraf dan membaik pulih sekolah yang memerlukan perhatian di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peningkatan peruntukan amat penting bagi memastikan kemudahan sekolah dapat dipertingkatkan selaras dengan keperluan semasa sektor pendidikan.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan langsung Sarawak dalam perancangan dan pengurusan pendidikan bagi memastikan keutamaan pembangunan ditentukan berdasarkan keperluan sebenar negeri.
“Jadi, peruntukan lebih besar amat diperlukan. Kedua, dari segi pengurusan, ia harus diselaraskan dengan keperluan di Sarawak kerana kita merupakan negeri terbesar.
“Keperluan dari segi jawatan untuk kenaikan pangkat juga perlu diberi tumpuan, bukan sekadar untuk memenuhi tenaga pengajar yang diperlukan,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke tapak bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Belipat pada Khamis.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan pendidikan di Sarawak terus diberi perhatian, termasuk membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah-sekolah di negeri ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Belanjawan kelima Kerajaan MADANI pimpinan beliau itu berpaksikan tekad untuk memastikan pertumbuhan bernilai tinggi diterjemahkan secara saksama demi kesejahteraan rakyat, selain memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Dalam lawatan berkenaan, Awang Tengah turut meluluskan peruntukan menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) bagi membaik pulih dewan makan dan dewan utama sekolah berkenaan.
Beliau turut meluangkan masa meninjau keadaan bilik darjah serta beramah mesra dengan warga pendidik di SK Belipat.
Kredit sumber: Borneo Utusan Online
