MANAMA: Bahrain mendakwa berjaya memintas serta memusnahkan beberapa serangan udara Iran, hari ini, manakala Tehran mendedahkan bahawa pihaknya telah melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara Teluk ini.
Ia adalah pemintasan pertama seumpamanya oleh pertahanan udara Bahrain sejak September lalu, selepas dua amaran potensi ancaman dikeluarkan yang menggesa penduduk berlindung dengan segera.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata, pihaknya menyerang sebuah pangkalan tentera AS di Bahrain sebagai tindak balas terhadap ‘tindakan permusuhan AS’, lapor agensi berita Iran, Fars.
Press TV melaporkan IRGC berkata, pasukannya melancarkan enam dron yang menyasarkan radar pertahanan udara AS di pangkalan helikopter Al-Rifaa, Bahrain.
Bagaimanapun setakat berita ini ditulis, tiada pengesahan segera daripada pihak berkuasa AS mahupun Bahrain.
Sementara itu tentera Bahrain pula mendakwa bahawa pertahanan udaranya telah memintas beberapa serangan Iran sebelum ia mengenai sasaran.
Pihak tentera itu sekali gus menuduh Tehran berterusan menggunakan ‘pendekatan permusuhan sistematik’ terhadap Bahrain.
Bahrain – yang menempatkan Armada Kelima Tentera Laut AS – meminta rakyat serta penduduknya supaya bertenang dan segera berlindung di lokasi selamat yang terdekat, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Dua hari sebelum itu, IRGC berkata, pihaknya telah menyerang sebuah kemudahan radar amaran awal AS di Bahrain.
Bagaimanapun, tentera AS menafikan perkara itu, sebaliknya mendakwa berjaya memintas dua dron Iran, tanpa sebarang kerosakan.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, pakatan diketuai Arab Saudi hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah memintas serangan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh serta tiga dron di Wilayah Timur yang kaya dengan minyak.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
