KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi pelaksanaan reformasi yang bertujuan meningkatkan kedudukan dan martabat sistem kehakiman adat di negeri ini.
Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, kelulusan Rang Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi kehakiman anak negeri serta memastikan undang-undang adat terus dipelihara.
Menurutnya, pembaharuan itu dilaksanakan pada masa yang tepat bagi memastikan Mahkamah Anak Negeri kekal relevan dan mampu berfungsi dengan lebih berkesan seiring perkembangan semasa.
Beliau berkata, pengukuhan institusi berkenaan turut mencerminkan pengiktirafan terhadap kedudukan undang-undang adat serta peranan institusi tradisional dalam sistem kehakiman Sabah.
Katanya, usaha itu juga seiring dengan perjuangan berterusan KDCA dalam mempertahankan hak, kepentingan, identiti dan maruah masyarakat anak negeri.
Mahkamah Anak Negeri mempunyai peranan penting dalam menyediakan sistem keadilan berlandaskan adat selain memastikan amalan dan warisan masyarakat yang diwarisi sejak turun-temurun terus dilindungi.
Yasambun berkata, pembaharuan berkenaan bukan hanya tertumpu kepada aspek pentadbiran, malah membawa pengiktirafan lebih besar terhadap masyarakat anak negeri dan sistem perundangan adat mereka.
Beliau turut menyambut baik cadangan penstrukturan semula institusi itu menerusi pembentukan sistem kehakiman lebih tersusun yang merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.
Menurutnya, pewujudan jawatan kehakiman, pelantikan berdasarkan merit serta penambahbaikan kemudahan mahkamah dijangka dapat meningkatkan tahap profesionalisme, kredibiliti dan keberkesanan institusi berkenaan.
KDCA berharap Mahkamah Anak Negeri dapat berkembang sebagai institusi yang kukuh, bebas dan berwibawa dalam menegakkan keadilan berasaskan adat secara saksama, selain terus mempertahankan keunikan tradisi masyarakat peribumi Sabah.
Beliau turut menegaskan kepentingan reformasi itu dalam memastikan generasi muda memahami serta menghargai peranan undang-undang adat sebagai sebahagian daripada pembentukan identiti dan pemeliharaan warisan masyarakat anak negeri.
Dalam pada itu, KDCA akan terus memperjuangkan pengiktirafan hak masyarakat anak negeri, pemeliharaan bahasa dan budaya peribumi serta pengukuhan institusi yang berperanan melindungi kepentingan komuniti berkenaan.
Yasambun berkata, KDCA juga bersedia menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan bagi memastikan usaha memperkukuh Mahkamah Anak Negeri dapat dilaksanakan demi memenuhi aspirasi masyarakat anak negeri Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
