TUARAN, 15 November 2026 – Kerajaan Negeri Sabah terus memberi perhatian terhadap usaha memperkasa golongan wanita dan suri rumah menerusi pelbagai inisiatif meliputi bidang ekonomi, sosial serta kepimpinan bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat amat dihargai, khususnya golongan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan setempat.
Beliau berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan setiap tahun bagi kawasan Sulaman untuk melaksanakan pelbagai program wanita, termasuk bantuan peralatan dapur.
Menurutnya, peruntukan tahunan dengan jumlah sama turut disediakan masing-masing untuk golongan pemuda dan beliawanis bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta program pembangunan kumpulan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur kepada Suri Rumah kawasan DUN Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Program anjuran Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulaman dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran itu menyaksikan seramai 1,000 suri rumah menerima bantuan peralatan dapur.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sokongan golongan wanita menjadi antara faktor penting yang membolehkan beliau terus diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat kawasan itu selama sembilan penggal sejak 1990.
Katanya, kaum wanita mewakili kira-kira separuh daripada jumlah pengundi di Sulaman dan peranan mereka tidak pernah diketepikan dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu wanita dan keluarga berpendapatan rendah, termasuk menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
Menurutnya, daripada kira-kira 10,000 penerima bantuan SYUKUR di daerah Tuaran, lebih 3,000 daripadanya adalah penduduk di kawasan Sulaman.
Beliau berkata, bantuan sebanyak RM300 sebulan yang disalurkan pada tahun lalu turut memberi manfaat kepada golongan wanita yang memenuhi syarat kelayakan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan penerima.
Hajiji berkata, kesejahteraan rakyat merupakan antara komponen utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menjadi asas kepada pelaksanaan dasar pembangunan negeri.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menyalurkan bantuan RM200 sebulan kepada 140,000 individu daripada golongan kurang berkemampuan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan rakyat.
Beliau turut memaklumkan jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan meningkat daripada sekitar 20,000 orang sebelum ini kepada hampir 70,000 penerima setiap bulan dalam tempoh lima tahun.
Katanya, peningkatan itu menggambarkan peluasan usaha kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai rakyat yang memerlukan mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji menyeru seluruh kepimpinan GRS supaya terus mengutamakan perjuangan parti serta memperkukuh kedudukannya sebagai tunjang kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, GRS perlu terus memainkan peranan menerajui kerajaan Sabah bukan sahaja pada masa ini, malah dalam menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
Pada majlis itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi penganjur, Datuk Jamaliah Antalip atas komitmen dan usaha dalam menjayakan program penyerahan bantuan peralatan dapur kepada golongan suri rumah di kawasan Sulaman. – DAKWAT RAKYAT POST
