SANDAKAN, 15 November 2026 – Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) terus menunjukkan peningkatan dari segi manfaat perlindungan apabila merekodkan pembayaran faedah berjumlah RM20.23 juta kepada 12,582 pencarum dan waris yang layak setakat 31 Oktober lalu.
Perkembangan itu mencerminkan peranan skim berkenaan dalam menyediakan perlindungan kewangan serta membantu menjamin kelangsungan sosioekonomi pencarum dan keluarga apabila berdepan musibah akibat kemalangan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 373 orang merupakan pencarum dan waris dari Sabah yang menerima bayaran faedah melebihi RM481,000.
Beliau berkata, LINDUNG 24 Jam merupakan antara inisiatif perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang memberi manfaat kepada individu sekiranya mengalami kecederaan akibat kemalangan di luar waktu dan kawasan pekerjaan, termasuk di rumah.
Menurutnya, skim yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 itu perlu diperluaskan hebahannya supaya lebih ramai masyarakat memahami manfaat serta kepentingan mendapatkan perlindungan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kenduri Rakyat i LINDUNG u @ Batu Sapi di Flat MPS Karamunting, di sini, Sabtu.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, perlindungan LINDUNG 24 Jam penting kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi, aktiviti atau keadaan seseorang.
Katanya, usaha memperkenalkan skim itu kepada masyarakat turut memberi tumpuan kepada golongan suri rumah yang memerlukan perlindungan sosial sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penyediaan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu turut memperlihatkan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam membantu golongan pekerja menghadapi perubahan pasaran buruh.
Faedah baharu susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu telah merekodkan pembayaran berjumlah RM12,000 kepada 12 penerima yang memenuhi syarat kelayakan setakat ini.
Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin kepada peralihan kerjaya, selain membantu pencari kerja memanfaatkan peluang pekerjaan tanpa dibatasi faktor geografi.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan turun padang menerusi program seumpama itu merupakan usaha Kerajaan MADANI memastikan kemudahan perlindungan sosial dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Menerusi program berkenaan, orang ramai berpeluang mendapatkan penerangan, khidmat nasihat serta perkhidmatan PERKESO secara langsung di kaunter yang disediakan tanpa perlu berkunjung ke pejabat agensi berkenaan.
Pada majlis sama, Khairul Firdaus turut menyampaikan plak penghargaan kepada Kelab Belia Flat MPS Karamunting yang berjaya meraih Johan Anugerah Perdana Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Sabah bagi kategori Pertubuhan Belia.
Program Kenduri Rakyat itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan perpaduan dan integrasi kaum, selain mengetengahkan kepelbagaian budaya masyarakat Sabah menerusi pertandingan Tarian Igal-Igal, mewarna kanak-kanak dan pakaian tradisional.
Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan 100 hadiah dengan nilai keseluruhan RM80,000.
Kemuncak program turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis popular tanah air termasuk Amy Search, Amir Masdi, Bell Ngasri dan Enn Xaviera Gretchene Duirina. – DAKWAT RAKYAT POST
