KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Bypass Ranau menghala ke Kampung Narinang, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.34 pagi dengan mangsa berjaya diselamatkan anggota bomba yang tiba di lokasi sebelum diberikan rawatan awal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai terbabas sendiri lalu terjunam ke dalam parit.
Anggota bomba kemudian melakukan penilaian keadaan sebelum mengeluarkan mangsa dari parit menggunakan pengusung.
Mangsa diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Elgie berkata, operasi menyelamat dan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian selesai sepenuhnya pada jam 2.25 pagi selepas pihaknya memastikan tiada risiko bahaya lain. – DAKWAT RAKYAT POST
