SEPANG, 14 November 2026 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghadiri program RT Mega Gathering 3.0 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, petang semalam.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi hantaran di Facebook, kehadiran beliau bertujuan menyantuni komuniti permotoran BMW RT yang menghimpunkan ratusan pemilik dan peminat motosikal berkenaan dari seluruh Malaysia serta Singapura. Perhimpunan itu berlangsung dalam suasana meriah, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti permotoran tanpa mengira latar belakang dan sempadan negara.
Penganjuran RT Mega Gathering 3.0 2026 turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan sebanyak 558 buah motosikal BMW RT.
Kejayaan itu merupakan hasil usaha Reise Tour Association Community Malaysia (RTAC) selaku penganjur dengan kerjasama jawatankuasa pelaksana, rakan strategik serta sokongan semua peserta yang mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.
Selain menjadi medan pertemuan peminat motosikal BMW RT, program berskala besar itu turut membawa mesej penting berkaitan keselamatan jalan raya, khususnya dalam menggalakkan amalan tunggangan berhemah, berdisiplin serta mematuhi peraturan lalu lintas.
KDN turut menzahirkan penghargaan kepada RTAC dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menjayakan perhimpunan bersejarah itu, selain berharap semangat kebersamaan serta kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang terus menjadi amalan komuniti permotoran di negara ini.
Penganjuran program seumpama itu juga memperlihatkan peranan komuniti permotoran dalam membina hubungan masyarakat serta menyemarakkan budaya keselamatan dan tanggungjawab bersama ketika berada di jalan raya. – DAKWAT RAKYAT POST
