TAWAU Peneroka generasi pertama di Gugusan Felda Umas kini berdepan keadaan sesak apabila pertambahan ahli keluarga menyebabkan rumah yang didiami sejak 1985 tidak lagi mampu menampung jumlah penghuni.
Penduduk yang ditemui berkata rumah peneroka yang diduduki hampir 40 tahun itu kini dihuni beberapa keluarga sekali gus menimbulkan tekanan kepada kehidupan harian. Borang permohonan rumah generasi kedua juga telah dikemukakan sejak 2010 namun sehingga kini tiada maklum balas.
Mereka mendakwa isu perumahan kerap dijadikan modal politik oleh calon ketika pilihan raya tetapi lenyap selepas keputusan diumumkan.
Salah seorang peneroka, Jubaidah Nustari, berkata permohonan telah dibuat lebih 10 tahun lalu namun tidak pernah menerima sebarang perkembangan.
“Saya ambil borang dari pejabat Felda Umas 3 tahun 2010 untuk generasi kedua. Lepas isi borang terus senyap. Rumah orang tua bukan kami saja tinggal. Ada adik beradik. Anak saya ada lima orang semua sudah besar. Terpaksa tumpang satu rumah. Kenapa di Semenanjung boleh buat kenapa di Sabah tidak boleh. Apakah kami ini mau dianak tirikan.”
Seorang lagi peneroka, Madrun Umpit, berkata keadaan menjadi semakin sukar apabila anak dan cucu terpaksa tinggal bersama dalam rumah yang sama selain berdepan masalah air dan elektrik.
“Anak saya enam orang. Cucu dua puluh orang. Mana mungkin mau tinggal satu rumah. Setiap pilihan raya janji itu ini tetapi selepas pilihan raya tidak ada kesan. Kami harap kerajaan campur tangan segera.”
Pengerusi Belia Felda Umas, Khairul Irwan, berkata isu ini telah dibangkitkan di peringkat wilayah hingga ke peringkat kebangsaan namun tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Kami minta kerajaan negeri memberi kelulusan. Felda ini persekutuan tapi apa apa urusan yang berlaku di persekutuan kami tidak dapat di sini. Kami mohon suara kami didengar dan diberi tindakan sewajarnya.”
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Umas, Otoh Kanus, berkata perkara lebih membimbangkan ialah ketiadaan geran pemilikan rumah walaupun peneroka sudah tinggal di kawasan itu selama hampir 40 tahun.
“Kami masuk sini pada 12 Disember 1985. Hingga kini belum dapat geran kawasan rumah. Keseluruhan Umas ada 776 peneroka. Bila bila masa kami boleh dihalau dari situ. Selaku ketua kampung saya berharap setiap peneroka diberikan lot geran rumah.”
Felda Gugusan Umas Tawau memiliki 776 buah rumah dengan penduduk lebih 10 ribu orang.
