TAWAU: Pesta Kopi Glam Tawau yang dianjurkan buat julung kali di Padang Bandaran Tawau, semalam, menjadi platform penting dalam memperkasa ekonomi kreatif serta mempromosikan produk kopi tempatan, khususnya melibatkan pengusaha Bumiputera dalam kalangan belia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, golongan belia perlu berani, kreatif dan inovatif untuk menceburi bidang keusahawanan, terutamanya dalam sektor ekonomi kreatif yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.
“Belia disaran memulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu sebelum mengembangkan usaha ke tahap lebih tinggi, selari dengan peningkatan pengalaman dan kemahiran,” katanya ketika merasmikan penganjuran pesta berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersama pelbagai agensi berkaitan sentiasa komited menyediakan bantuan, bimbingan serta sokongan yang diperlukan bagi membantu usahawan belia membina dan mengukuhkan perniagaan masing-masing.
Pesta Kopi Glam Tawau itu menghimpunkan penyertaan pengusaha kopi tempatan serta usahawan belia dari sekitar daerah Tawau, sekali gus membuka ruang promosi produk, perkongsian idea dan pembinaan jaringan perniagaan.
Dalam pada itu, Datuk Nizam turut menasihatkan golongan belia agar tidak mensia-siakan masa dengan aktiviti tidak berfaedah, sebaliknya melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang memberi manfaat serta mampu menyumbang kepada pembangunan diri, komuniti dan ekonomi setempat.
