Screenshot
TAWAU, 18 Februari 2026 – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk meletakkan Konsulat India di Sabah perlu diterima secara positif oleh rakyat negeri ini kerana ia berpotensi membawa manfaat pembangunan dan ekonomi.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, hubungan baik dan kerjasama perdagangan dengan negara maju amat penting bagi menarik pelabur asing ke Sabah. Menurutnya, keadaan ekonomi dunia yang mencabar ketika ini memerlukan Sabah membuka ruang kerjasama dengan pelbagai negara, termasuk India.
Beliau menjelaskan, India mempunyai kekuatan dalam sektor perubatan yang boleh dikembangkan di Sabah melalui pelaburan dari negara itu. Usaha ini dilihat mampu merancakkan ekonomi negeri serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Shafie turut menegaskan bahawa kemasukan pelabur asing perlu diurus dengan baik melalui peranan konsulat bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat Sabah. Katanya, kehadiran konsulat akan memudahkan pengurusan pelaburan serta hubungan diplomatik yang lebih teratur.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar kerajaan memastikan peluang pekerjaan di Sabah tidak diisi sepenuhnya oleh pekerja luar, sebaliknya memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri pasar malam sempena Pesta Tahun Baru Cina di perkarangan Fuji Mart Sin On, Tawau, baru-baru ini yang dikunjungi ribuan penduduk berbilang kaum sekitar daerah tersebut.
