LAHAD DATU: Masalah lubang pembetungan tersumbat dan saluran pembetungan yang mengganggu penduduk di Lot 22 dan 23, Taman Harapan berjaya diselesaikan selepas tindakan susulan diambil oleh pihak berkaitan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata beliau menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah tersebut pada 25 Februari lalu sebelum membuat lawatan ke lokasi pada 26 Februari bagi menilai keadaan sebenar.
Susulan itu, surat rasmi telah dihantar kepada Majlis Daerah Lahad Datu dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sabah (JPPS) bagi tindakan lanjut.
Menurut beliau, pihak JPPS telah menjalankan pemeriksaan di lokasi aduan bagi mengenal pasti punca masalah yang dilaporkan oleh penduduk.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat halangan dalam menjalankan kerja penyelenggaraan kerana terdapat penambahan struktur di kawasan berkenaan sehingga menghalang akses laluan ke manhole untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, pasukan teknikal turut memeriksa manline perumahan dan mendapati sistem tersebut berada dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang masalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak JPPS juga telah memberikan penjelasan kepada pengadu berhubung situasi sebenar yang dihadapi serta langkah-langkah yang diambil dalam menangani aduan tersebut.
“Alhamdulillah, dimaklumkan bahawa aduan tersebut telah diambil tindakan dan kini dilaporkan selesai,” katanya.
Datuk Mizma turut merakamkan penghargaan kepada pihak MDLD dan JPPS Lahad Datu atas tindakan segera dalam menangani isu yang dihadapi penduduk.
Tambahnya, sama ada isu kecil atau besar, keselesaan rakyat tetap menjadi keutamaan dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.
