Hasbullah ketika ditemui berniaga di bazar Ramadan Bataras.
TAWAU: Bermula sekadar mahu menguji pasaran, seorang anak muda tidak menyangka jualan pisang ijo yang diusahakannya di Bazar Ramadan Bataras di sini mencecah 20,000 bekas dalam tempoh 14 hari Ramadan.
Usahawan muda, Hasbullah Baharuddin, 25, berkata, pada awalnya beliau tidak pasti sama ada hidangan tradisional berkenaan yang telah divariasikan mampu diterima masyarakat Tawau.
Menurutnya, tujuan utama datang berniaga di daerah ini hanyalah untuk melihat penerimaan orang ramai terhadap menu pisang ijo yang sebelum ini mendapat sambutan di Kota Kinabalu.
“Pada mulanya kami datang hanya untuk tengok pasaran sahaja. Tidak pasti sama ada menu pisang ijo yang sudah divariasi ini boleh diterima atau tidak.
“Namun alhamdulillah, selepas 14 hari berniaga di Bazar Ramadan, sambutan daripada pelanggan sangat memberangsangkan sehingga kami berjaya menjual sebanyak 20,000 bekas,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Hasbullah berkata, di Kota Kinabalu majoriti pelanggannya terdiri daripada golongan muda, namun di Tawau situasinya berbeza apabila kebanyakan pembeli adalah ibu bapa yang membeli untuk keluarga.
Katanya, pisang ijo yang dijual bukan sekadar menu tradisi masyarakat Suku Makassar di Indonesia, malah mempunyai nilai sentimental kerana menggunakan resipi turun-temurun keluarganya.
“Resipi ini daripada ibu saya. Setiap kali Ramadan, hidangan ini memang menu wajib di rumah.
“Saya hanya mengekalkan cara ibu saya memasak dan menambah sedikit pembaharuan supaya lebih menarik untuk pasaran,” katanya.
Pisang ijo merupakan manisan tradisional yang menggunakan pisang yang dibalut dengan adunan tepung berwarna hijau sebelum dikukus, manakala kuah sum-sum putih diperbuat daripada campuran tepung dan air.
Bagaimanapun, Hasbullah menampilkan kelainan apabila memperkenalkan variasi sum-sum pandan berwarna hijau selain menambah pelbagai pilihan seperti Milo, Nestum, jagung, kacang tanah dan kacang merah sebagai pelengkap hidangan.
Menurutnya, walaupun menyedari terdapat ramai peniaga lain menjual pisang ijo, variasi yang diperkenalkannya mendapat sambutan sehingga menginspirasi peniaga lain untuk mencuba konsep yang sama.
“Bagi saya itu bukan satu cabaran, sebaliknya peluang untuk berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.
