KUALA LUMPUR: Gerakan kerohanian moden berteraskan New Age Movement (NAM) dikesan licik menyusup ke dalam masyarakat Islam di negara ini menerusi pelbagai taktik baharu di sebalik program berunsur dakwah seperti ‘Tadabbur al-Quran’, ‘Healing cara Islamik’ dan ‘Spiritual Coaching’.
Difahamkan, gerakan itu disebar melalui aktiviti seperti yoga dikendalikan pengusaha beragama Islam, program motivasi dan pembangunan diri menggunakan istilah Islam serta kemudian dikaitkan dengan konsep metafizik.
Yang turut dikesan, kursus pembangunan diri dikendalikan agensi kerajaan yang menampilkan perunding atau penceramah membawa elemen NAM dalam modul mereka.
Lazimnya, istilah mengelirukan ialah perkataan ‘Allah’ diganti dengan perkataan ‘universe’, selain ‘law of attraction’ atau magnet rezeki dan bibliomancy, iaitu istikharah al-Quran.
Menerusi program motivasi, mereka menyembunyikan unsur NAM dengan menyelitkan zikir, doa dan selawat, dengan wanita lebih mudah terpengaruh kerana banyak ajaran bersifat menyentuh emosi, mengajar cara menyerlahkan aura diri dan memasukkan kaedah meditasi yang didakwa mampu memberi ketenangan.
Perkongsian di media sosial mengenai pusat ajaran NAM didapati semakin berkembang di beberapa negeri dengan kebanyakannya beroperasi sebagai pusat terapi alternatif.
Antara lain, ia menyediakan rawatan mengenal pasti aura dalam diri, latihan pernafasan dan terapi pseudosains bagi meredakan tekanan.
Pusat terbabit turut menawarkan rawatan serendah RM100, selain kursus mengenal potensi diri, mengatasi isu kemurungan dan kecergasan dengan bayaran sehingga RM400 seorang.
Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) yang turut menyelidik gerakan NAM, Dr Mohamad Razif Mohamad Fuad, berkata ajaran terbabit yang dipercayai mula bertapak sejak 1960-an dan meresap ke Malaysia pada 1990-an, berbahaya kepada akidah umat Islam.
Katanya, ia sukar dikenal pasti sebagai sesat kerana memanipulasi pelbagai ajaran Islam.
Apa yang lebih membimbangkan, tegasnya, NAM membawa fahaman pluralisme, iaitu semua agama setara, benar dan menuju ke destinasi atau Tuhan yang sama.
“Gerakan ini berada di merata tempat dalam bentuk berbeza kerana kelompok yang mengamalkan NAM mendakwa ia tidak mengenal agama.
“Apa pun agama yang dianuti, ia didakwa tidak menjadi masalah kerana semua agama dianggap sama dari sudut kerohanian.
“Ini yang dibawa dalam pemahaman masyarakat dan kerana itu fahaman ini jadi popular, kononnya ia bersifat inklusif.
“Jadi sesiapa pun boleh turut serta dengan mengikut amalan serta kaedah diajar mereka,” katanya kepada BH.
Sebar kefahaman pseudosains
Di Malaysia, jelasnya, NAM dipercayai aktif menyebarkan kefahaman pseudosains dan pseudopsikologi dan turut mengajar Law of Attraction (hukum daya tarik) yang hakikatnya menyalahi sifat Qudrah (Maha Kuasa) dan Iradah (Maha Berkehendak) Allah.
Mohamad Razif berkata, ada ritual kuno dipercayai turut diajar antaranya bertapa di bawah bulan dengan kepercayaan tenaga bulan akan mengalir ke dalam diri, selain sentuhan fizikal seperti memeluk pokok bagi memindahkan tenaga bumi untuk penyembuhan.
Beliau berkata, ajaran NAM pernah berlaku di satu negeri melalui program motivasi berkaitan pengurusan kewangan dengan peserta diajar mengeluarkan roh daripada badan, bagi menyelesaikan kekangan kewangan dihadapi.
“Peserta diminta duduk di kerusi sambil memejam mata untuk diajar cara mengeluarkan roh dari badan dan kaedah itu didakwa membolehkan peserta menjadi diri baharu, iaitu kembali kepada usia 30 tahun ketika tidak mengalami masalah kewangan.
“Dalam Islam, apabila roh keluar dari jasad, ia bermakna manusia sudah mati dan tidak wujud terapi yang dipanggil terapi garis masa dalam NAM.
“Lebih menyesatkan, pengendali program membaca mantera untuk mengeluarkan roh dari badan sambil memasang muzik yoga, jelas ritual ini membabitkan perkara menyimpang Islam,” katanya.
Mengenai lambakan seminar motivasi, keusahawanan dan pembangunan diri yang menerapkan elemen NAM, Mohamad Razif berkata, kebanyakannya diadakan secara tertutup dan menyukarkan pihak berkuasa bertindak.
Katanya, ia sukar dibanteras tanpa ada aduan dikemukakan peserta atau orang awam.
“Agensi kerajaan atau swasta mempunyai peruntukan menjalankan kursus pembangunan diri, keusahawanan dan seminar kewangan.
“Mereka akan membayar konsultan berdaftar untuk mengendalikan seminar dan ada dalam kalangan konsultan ini membawa elemen NAM.
“Kita tidak boleh salahkan mereka sepenuhnya kerana ada ketika konsultan sendiri tidak mengetahui modul dibawa bertentangan Islam kerana diambil daripada buku atau seminar luar negara,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 4 Oktober 2026
