KUALA LINGGI: Cubaan tiga warga Indonesia, termasuk seorang tekong, memasuki Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan dalam operasi di perairan Melaka pada 25 September lalu.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan pihaknya terhadap kegiatan penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.
Menurutnya, sekitar jam 3.30 pagi, aset Maritim Malaysia mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.1 batu nautika tenggara Pulau Konet, Melaka.
Katanya, bot berkenaan diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, namun tekong bertindak memecut dalam cubaan melarikan diri.
“Tindakan pantas anggota Maritim Malaysia mengejar dan memintas bot berkenaan membawa kepada penahanan kesemua tiga individu terbabit,” katanya.
Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga individu berusia antara 46 hingga 48 tahun dan merupakan warganegara Indonesia.
Mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai cuba memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua Orang Yang Disyaki (OYDS) bersama bot pancung yang digunakan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan siasatan lanjut.
Dalam perkembangan sama, hasil maklumat risikan dan siasatan susulan membawa kepada pemeriksaan di kawasan pantai berhampiran Pulau Konet yang dipercayai menjadi lokasi menunggu bagi pengambilan individu oleh sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia.
Pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 3 petang oleh tiga pegawai penguat kuasa bersama unit risikan Maritim Malaysia.
Hasil pemeriksaan itu, pasukan penguat kuasa menemukan satu bungkusan teh Cina berwarna hijau berjenama Tie Guan Yin dalam keadaan terbuka.
Bungkusan berkenaan mengandungi bahan berbentuk hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu dengan nilai hampir RM55,000.
Bungkusan tersebut ditutup menggunakan sehelai seluar jeans berwarna biru dan ditemukan kira-kira 40 meter dari pantai berhampiran Pulau Konet, Melaka.
Kesemua barangan yang ditemukan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kandungan sebenar bahan yang dirampas selain meneliti kaitannya dengan aktiviti yang disyaki berlaku di kawasan berkenaan.
Salehuddin berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan, risikan dan pemantauan khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran, penyeludupan barangan terlarang serta cubaan menceroboh sempadan perairan negara.
“Maritim Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara. Sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya yang melibatkan pergerakan keluar masuk melalui laluan tidak diwartakan, akan dipantau dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
