KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman, berpandangan konsert penyanyi Gospel Kristian, Israel Houghton, di Kota Kinabalu tidak wajar dihalang sekiranya penganjur dan artis terbabit mematuhi undang-undang serta syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Anifah berkata, langkah berkenaan perlu dilihat dalam konteks Sabah yang sejak sekian lama dikenali dengan masyarakat berbilang agama yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
Beliau berkata, tindakan membuat laporan polis bagi membantah penganjuran konsert berkenaan mengejutkan memandangkan acara itu membabitkan penyanyi Kristian dan ditujukan kepada penonton Kristian.
“Saya juga terkejut apabila dimaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung penganjuran konsert tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anifah, beliau difahamkan Houghton sebelum ini pernah menyatakan sokongan terhadap Israel menerusi media sosialnya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dilihat secara konsisten kerana terdapat juga artis atau kumpulan muzik lain yang pernah menyatakan sokongan terhadap Israel tetapi masih dibenarkan mengadakan persembahan di Malaysia.
“Jika wujud layanan yang berbeza, kita perlu bertanya sama ada sikap tidak bertoleransi terhadap agama kini mula menular dalam masyarakat kita,” katanya.
Anifah berkata, pengalaman ketika beliau menjadi Menteri Luar turut menunjukkan bahawa isu membabitkan individu yang mempunyai pendirian tertentu terhadap Israel boleh diurus menerusi syarat dan kawalan yang jelas.
Katanya, Malaysia sebelum ini pernah menerima atlet yang menyokong Israel untuk menyertai temasya sukan antarabangsa dengan syarat mereka menghormati sensitiviti tempatan serta mematuhi peraturan ditetapkan.
“Sekiranya pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang dapat memastikan Israel Houghton mematuhi undang-undang tempatan, tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan atau menyinggung sensitiviti masyarakat setempat, serta langkah munasabah diambil bagi mengelakkan sebarang provokasi, saya tidak melihat mengapa beliau perlu dihalang daripada membuat persembahan di Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program berkenaan bukan bertujuan menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam kerana ia dinyatakan sebagai acara untuk penganut Kristian.
Katanya, muzik Gospel yang dipersembahkan Houghton juga merupakan bentuk muzik keagamaan yang digunakan dalam pelbagai denominasi Kristian dan telah lama dikenali dalam masyarakat Sabah.
“Perkara seperti ini sebelum ini tidak pernah menjadi masalah bagi kita.
“Kita tidak seharusnya menjadikannya satu masalah sekarang,” katanya.
Anifah pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya mempertahankan semangat toleransi yang menjadi antara kekuatan Sabah dalam menjaga keharmonian masyarakat berbilang agama.
“Jangan bawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah,” katanya.
