KOTA KINABALU: Pendidikan al-Quran mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi berilmu, beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab, selaras dengan usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan berkualiti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama, pondok dan pusat tahfiz mempunyai peranan besar dalam membentuk sahsiah serta jati diri generasi muda.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Haji Aliasnih @ Liasnih, yang mewakili Ketua Menteri pada Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Wilayah Sabah dan Sarawak di Wisma 7, Taman Sulaman, di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, pendidikan tahfiz perlu diperkasakan menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memberi penekanan kepada hafazan dan ilmu agama, malah turut merangkumi akademik, teknologi, komunikasi, kepimpinan, keusahawanan serta bidang teknikal dan vokasional.
“Kita mahu melahirkan generasi al-Quran yang bukan sahaja baik dari sudut hafazan, tetapi turut cemerlang dalam pelajaran, mempunyai kemahiran, berdisiplin serta mampu memimpin dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembinaan manusia yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran agama.
Menurutnya, generasi yang dididik dengan al-Quran berpotensi menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, profesional, keusahawanan dan pendidikan.
Hajiji berkata, pembukaan Bangunan Ibu Pejabat MTS Wilayah Sabah dan Sarawak merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluas serta memperkukuh jaringan pendidikan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di kedua-dua negeri.
“Bangunan ini bukan sekadar sebuah pusat pentadbiran, malah merupakan lambang komitmen, kesungguhan dan cita-cita besar untuk melahirkan generasi yang menghafaz, memahami serta menghayati ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut menggalakkan MTS memperluas kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Katanya, kerjasama itu boleh merangkumi pembangunan kurikulum, latihan perguruan, pendidikan digital, kemahiran teknikal dan vokasional, keusahawanan serta peluang melanjutkan pengajian.
“Jaringan kerjasama yang kukuh dapat memastikan para pelajar tahfiz mempunyai laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih luas serta mampu berdikari pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan kepentingan pengurusan institusi tahfiz yang baik, telus dan profesional, termasuk pematuhan terhadap peraturan keselamatan bangunan, pencegahan kebakaran, kesihatan, kebersihan serta kelayakan tenaga pengajar.
Katanya, pengurusan yang teratur penting bagi memastikan keyakinan ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi tahfiz terus terpelihara.
Dalam konteks Sabah yang mempunyai kepelbagaian agama, budaya dan etnik, beliau berkata institusi pendidikan agama turut mempunyai tanggungjawab menyemai nilai kesederhanaan, kasih sayang, toleransi dan saling menghormati.
“Ajaran Islam menuntut umatnya supaya membawa rahmat, memelihara keamanan dan membina hubungan yang baik sesama manusia.
“Nilai-nilai inilah yang perlu diterapkan kepada para pelajar agar mereka menjadi pendakwah melalui akhlak, ilmu dan perbuatan yang baik,” katanya.
