TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) memberi maklum balas terhadap lima isu utama di Pasar Tanjung Tawau membabitkan kerosakan lif, gangguan lampu, masalah tikus, waktu operasi tandas awam serta saluran paip tersumbat.
Presidennya, Mohd Shoffian Mohd Said berkata, pihaknya mengambil serius semua aduan berkaitan kemudahan asas dan kebersihan di pasar berkenaan dengan beberapa tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurutnya, bagi masalah lif di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC), MPT sedang dalam proses melantik konsesi baharu selepas konsesi terdahulu menarik diri dan tidak lagi berminat meneruskan perkhidmatan penyelenggaraan.
“Bagaimanapun, sementara menunggu kerja pembaikan dilaksanakan, orang awam yang ingin berurusan di UTC atau membeli barangan di tingkat atas pasar boleh menggunakan lif alternatif yang terletak di dalam pasar, bersebelahan gerai kopi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengenai gangguan lampu, beliau berkata, sebahagian kawasan pasar sedang menjalani kerja pengubahsuaian termasuk menaik taraf pendawaian elektrik yang menyebabkan gangguan kepada lampu di beberapa lokasi.
Kerja naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2027 dan diharapkan dapat menyelesaikan masalah pendawaian, khususnya membabitkan lampu yang tidak berfungsi dengan baik.
Berhubung waktu operasi tandas awam, Mohd Shoffian menjelaskan kemudahan di bawah pentadbiran MPT beroperasi dari jam 7 pagi hingga 4.30 petang setiap hari.
Sementara itu, bagi menangani masalah tikus, beliau berkata, Seksyen Kesihatan Persekitaran MPT menjalankan kawalan haiwan perosak secara rutin sebanyak tujuh kali sebulan.
Katanya, langkah berkenaan merangkumi pemasangan perangkap, penggunaan racun bagi memantau indeks tikus serta pelantikan syarikat kawalan haiwan perosak untuk memasang kotak racun tikus (TRBS) dan meletakkan umpan di lokasi strategik termasuk kawasan luar bangunan.
Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati sisa makanan daripada aktiviti jualan makanan basah dan kering serta penyimpanan barangan yang boleh menjadi tempat perlindungan turut berpotensi menarik kehadiran dan pembiakan tikus.
“Kerja kawalan yang dijalankan adalah langkah awal untuk mengurangkan kehadiran tikus, namun keberkesanannya bukan hanya bergantung kepada penggunaan racun dan umpan.
“Kerjasama peniaga amat diperlukan, terutama dalam memastikan kebersihan gerai sentiasa dijaga,” katanya.
Mengenai aduan saluran paip air tersumbat di meja Gerai 7 dan 8, beliau berkata, pemantauan mendapati masalah itu kebanyakannya berpunca daripada sisa makanan serta barangan seperti lesung batu, kayu mop dan batang penyapu yang dibuang atau terjatuh ke dalam saluran.
Katanya, MPT akan melaksanakan pembaikan kecil dalam jangka pendek, manakala penyelarasan semula saluran paip dirancang sebagai penyelesaian jangka panjang.
Beliau turut menasihatkan penjaja supaya tidak membuang sisa makanan atau barangan ke dalam saluran paip bagi mengelakkan masalah itu menjadi lebih serius.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden MPT, Tony Koh Kian Leong, membangkitkan beberapa masalah di Pasar Tanjung selepas turun padang meninjau keadaan kemudahan di pasar berkenaan.
Beliau berkata, aduan penjaja dan pengunjung termasuk kerosakan kipas serta lampu, masalah lif, tandas yang dibuka lewat dan sistem saliran tersumbat perlu diberi perhatian secara menyeluruh oleh pihak berkuasa tempatan.
Tony turut meminta MPT memastikan kontraktor dan penyelia pasar menjalankan pemantauan secara berkala serta mengambil tindakan terhadap aduan yang dikemukakan tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Menurutnya, waktu operasi tandas juga wajar dipertimbangkan semula kerana terdapat penjaja dan pengunjung yang sudah berada di pasar seawal jam 6 pagi.
Selain itu, beliau berkata, keadaan kemudahan dan kebersihan Pasar Tanjung perlu diberi perhatian kerana lokasi itu bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan, malah turut dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.
“Pasar Tanjung ini juga menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk membeli barang-barang cenderamata dan makan.
“Kalau keadaan pasar gelap dan berbau busuk, macam mana kita mahu tarik lebih ramai pelancong datang?” katanya.-Dakwat Rakyat Post
Katanya, konsesi terdahulu menarik diri dan tidak lagi berminat meneruskan perkhidmatan penyelenggaraan lif berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan operasi tandas awam di bawah pentadbiran MPT adalah seragam, iaitu dari jam 7 pagi hingga 4.30 petang setiap har
