TAWAU: Cadangan menutup Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat yang bimbang peluang melanjutkan pengajian tinggi, terutama bagi golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah, akan semakin terbatas.
Sehubungan itu, masyarakat berharap kampus yang mula beroperasi sejak 1996 berkenaan terus dipertahankan, malah kemudahan dan kapasiti pengajiannya ditingkatkan bagi memenuhi keperluan pendidikan anak muda di kawasan pantai timur Sabah.
Penduduk Tawau, Sarman Amat Simito berkata, UiTM Tawau memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar bukan sahaja dari daerah itu, tetapi juga kawasan berdekatan termasuk Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
Menurutnya, kewujudan kampus berkenaan membolehkan pelajar meneruskan pengajian tanpa perlu berpindah jauh atau berdepan kos tambahan melibatkan perjalanan dan tempat tinggal.
Beliau berkata, sekiranya kampus itu ditutup dan operasinya dipindahkan ke Kota Kinabalu, keadaan berkenaan pastinya memberi kesan kepada kemampuan kewangan keluarga yang mempunyai anak melanjutkan pengajian.
“Saya berharap pihak kementerian mempertimbangkan semula cadangan penutupan UiTM Tawau. Sebaiknya, kemudahan yang ada ditambah baik dan diperluaskan supaya lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di sini.
“Kampus ini bukan hanya memenuhi keperluan penduduk Tawau, malah turut menjadi pilihan anak muda dari Lahad Datu, Semporna dan daerah sekitarnya,” katanya.
Dalam pada itu, kebimbangan mengenai masa depan kampus berkenaan turut dikongsi golongan belia yang berpendapat pengekalan institusi pendidikan itu penting bagi memastikan anak muda di pantai timur Sabah tidak kehilangan peluang mendapatkan pendidikan tinggi berhampiran tempat tinggal mereka.
Seorang penduduk, Alida Dangasan berkata, UiTM Tawau wajar dikekalkan dan penawaran program pengajian juga perlu diperluaskan bagi membuka lebih banyak ruang kepada anak muda untuk meningkatkan kelayakan akademik serta kemahiran.
Katanya, kewujudan institusi pengajian tinggi di daerah sendiri amat bermakna kepada pelajar daripada keluarga yang mempunyai kemampuan kewangan terhad, khususnya mereka yang sukar menanggung perbelanjaan sekiranya perlu belajar di luar Tawau.
“Pada pandangan saya, penutupan UiTM akan memberikan kesan kurang baik kepada golongan muda. Kami sebagai anak Sabah berharap kampus ini terus beroperasi demi kepentingan generasi seterusnya.
“Jika berpeluang, kemudahan universiti ini perlu ditambah baik supaya lebih ramai anak muda dapat mengembangkan potensi dan memperoleh pendidikan yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tony Koh Kian Leong turut menyatakan sokongan terhadap usaha mengekalkan operasi UiTM Tawau kerana kepentingannya dalam memastikan masyarakat setempat terus mendapat akses kepada pendidikan tinggi.
Menurutnya, penutupan kampus itu boleh menyebabkan keluarga, khususnya dalam kalangan Bumiputera, berdepan peningkatan kos sekiranya anak mereka terpaksa menyambung pengajian di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, sokongan terhadap pengekalan UiTM Tawau turut didorong semangat perpaduan dan kepentingan pendidikan sebagai keperluan bersama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Saya menyokong supaya UiTM Tawau terus dikekalkan kerana keluarga Bumiputera mungkin terpaksa mengeluarkan belanja lebih besar sekiranya anak mereka perlu belajar di UiTM Kota Kinabalu.
“Walaupun saya bukan Bumiputera, atas semangat perpaduan sebagai rakyat Malaysia, saya tetap menyokong sepenuhnya usaha mempertahankan kampus ini,” katanya.
Pengekalan UiTM Tawau dilihat penting bagi memastikan peluang pendidikan tinggi terus dapat dinikmati anak muda di pantai timur Sabah, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian jauh dari keluarga. – DAKWAT RAKYAT POST
