TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan membabitkan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM2.82 juta dalam serbuan di sebuah jeti persendirian di Bagan Datuk, awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira jam 12.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh Wilayah Satu menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Op Taring Landai, hasil risikan bersama.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan mendapati jeti berkenaan digunakan bagi aktiviti pendaratan ikan dan hasil laut.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah lori tangki berkapasiti 30 tan sedang memindahkan minyak diesel daripada tiga bot yang berada di jeti berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pemilik premis tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan diesel yang sah.
“Minyak diesel berkenaan disyaki diperoleh melalui saluran subsidi nelayan pada harga RM1.65 seliter dan dipercayai untuk dijual semula kepada pihak tertentu pada harga lebih tinggi, yang dianggarkan antara RM4 hingga RM5 seliter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KPDN mengambil tindakan terhadap pemilik premis dan pembeli kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam serbuan itu, KPDN menyita kira-kira 25,500 liter minyak diesel bernilai RM124,950, selain sebuah lori tangki berkapasiti 30 tan, tiga bot, sebuah skid tank, pam bersama hos serta beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,824,950.
“Dua individu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Kamalludin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi pertubuhan atau perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Kredit sumber: Buletin TV3
